Powered By Blogger

Tuesday, March 6, 2007

Kementerian Sasar 1,000 Peniaga Francais Bumiputera Dibawah RMK-9

Kepada saudara-saudari yang berminat nak menjalankan perniagaan francais, semoga maklumat ini dapat membantu.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) menyasar untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 1,000 peniaga francais Bumiputera dan 50 pengendali francais di bawah Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9).

Timbalan Menterinya, Datuk Khamsiyah Yeop, berkata menyedari keperluan itu, MECD telah menetapkan sasaran supaya Perbadanan Nasional Bhd (PNS) mewujudkan seramai 200 peniaga francais Bumiputera setahun dalam tempoh lima tahun lagi.

"Kerajaan menekankan keperluan mewujudkan para usahawan di kalangan peniaga francais di bawah RMK-9, terutamanya membabitkan perniagaan berkaitan pembangunan produk tempatan dan jenama francais," katanya pada majlis menandatangani satu memorandum persefahaman di antara PNS dan Institut Pengurusan Malaysia (MIM) di sini.

MoU itu menandakan bermulanya secara formal satu kerjasama dalam membangun dan mengendalikan Program Persijilan Pengurus Pengendali Francais Profesional untuk melatih peniaga dan pengurus perniagaan francais meningkatkan lagi pengetahuan dan skil mereka dalam pembangunan dan pengurusan francais.

"Dengan program kerjasama ini, kementerian berharap supaya Malaysia muncul sebagai hab kebangsaan dan serantau bagi penanda aras pengurusan francais serta pendidikan dan latihan untuk pengurusan francais berpiawaian tinggi di Asia Tenggara," katanya.

Program itu, yang disokong pihak Majlis Francais Australia dan organisasi Latihan Perniagaan seluruh Australia, sudah siap sedia menjadi satu model program pembangunan pengurusan francais yang utama daripada PNS dan MIM.

Pengarah urusan PNS, Rusdi Ibrahim, berkata perniagaan francais mempunyai potensi yang besar.

"Kami mahu menjemput negara jiran untuk turut serta dalam program ini dan dengan memberikannya pentauliahan bagi membolehkan pengendali francais tempatan mengorak langkah ke dunia global," katanya.

Petikan : Bernama, 2 Mac 2007

No comments: